AMPANG, 27 SEP - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini sekali lagi bertegas mendesak Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali supaya menghentikan serta merta pengeluaran Lesen Pusat Hiburan Keluarga kepada Pengusaha Mesin Judi.

Menurut Jamal, Beliau dimaklumkan sehingga hari ini masih ada lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha-pengusaha kedai judi berkenaan.

" Semalam sahaja ada 37 premis mesin judi yang telah diluluskan oleh PBT, Kedai-kedai berkenaan bukan menjalankan aktiviti sebenar Pusat Hiburan Keluarga sepenuhnya malah berselindung di bawah lesen berkenaan untuk menjalankan aktiviti perjudian," kata Jamal.

Sebelum ini Jamal telah membongkar sebanyak 6800 premis judi di sekitar Negeri Selangor yang telah diberikan kelulusan lesen oleh PBT dan dari masa ke semasa premis judi ini semakin bertambah sehingga ke hari ini.

" Kami berharap Kerajaan Negeri Selangor dapat membekukan atau membatalkan lesen - lesen Pusat Hiburan Keluarga yang telah dimiliki oleh pengusaha - pengusaha kedai judi berkenaan, Ini bukanlah satu ugutan tetapi adalah satu desakan dan tidak mustahil selepas ini tiada lagi sesi sidang media jika perkara yang diketengahkan ini tidak dipedulikan oleh Kerajaan Negeri kerana pihak-pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) diseluruh kawasan di sekitar Negeri Selangor terutamanya akan bertindak melakukan sesuatu yang diluar batas undang-undang," kata Jamal lagi.

Jamal tidak menuding jari kepada pihak Polis kerana sebelum ini beliau sendiri telah berbincang dengan pihak Polis tentang kewujudan premis - premis judi yang begitu banyak di Negeri Selangor ini namun pihak Polis tidak dapat mengambil tindakan oleh kerana premis judi ini telah dilesenkan oleh PBT.

Dengan kewujudan kepimpinan Ketua Polis Negara (KPN) yang baru iaitu Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Jamal menyambut baik tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang menubuhkan jawatankuasa bagi menangani dan menghapuskan premis-premis judi yang didapati semakin berleluasa di seluruh negara, dimana pihak Polis akan bertindak bermula pada hari ini.

Dalam pada itu, Jamal dan Gabungan NGO tidak rela melihat masyarakat terutama yang beragama islam terlibat dengan gejala judi ini yang terang-terang menyalahi hukum islam. - KITAIKINI