KUALA LUMPUR, 12 SEP - Datuk Seri Jamal Md Yunos dan 9 individu yang lain pada hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 12 tengahari tadi untuk memberikan keterangan berhubung isu hentakan tukul besi di meja sidang media pada sesi sidang media beliau pada 5 september yang lalu mengenai desakan ke atas Kerajaan Negeri Selangor untuk membekukan atau menarik balik Lesen Pusat Hiburan Keluarga yang telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha kedai judi.

Turut bersama Jamal hari ini ialah Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah, Penasihat Undang-Undang Gabungan NGO Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin dan 50 individu yang lain.

Jamal turut dilihat membawa sebatang tukul besi masuk ke IPD Ampang Jaya untuk dijadikan sebagai bahan kes semasa memberi keterangan kepada pihak polis.

Jamal memberitahu, beliau dan 9 individu yang lain hadir ke balai polis pada hari ini untuk memberikan keterangan ekoran terdapat laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa individu yang dipercayai berkait rapat dengan isu mesin judi yang diketengahkan ini kononnya tindakan yang dibuat oleh Jamal adalah diluar batas undang-undang dan dikhuatiri Jamal akan bertindak sedemikian ke atas premis-premis judi yang berkaitan.

" Jadi kami merasa sangat hairan dan sedih, isu yg kami bawa ini adalah isu masyarakat, isu yang terjadi di dalam negeri Selangor, saya dan beberapa NGO yang lain hanya menyuarakan pandangan masyarakat tentang maklumat yang diajukan kepada kami berhubung terlalu banyaknya premis-premis mesin judi ini," kata Jamal.

Setelah menerima aduan masyarakat terbabit, Jamal dan rakan-rakannya bertindak untuk masuk ke kedai judi untuk menjalankan siasatan dan mendapati kebanyakan premis judi telah dilesenkan sebagai Pusat Hiburan Keluarga oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

" Sebab itu kami mendesak kerajaan negeri untuk membekukan atau menarik balik lesen yg telah diberikan kepada pengusaha- pengusaha judi berkenaan, Adalah tidak adil pihak masyarakat untuk menuduh pihak polis tidak bertindak kerana bila premis judi sudah dilesenkan, pihak polis tidak dapat mengambil tindakan untuk menyerbu premis judi terbabit," kata Jamal lagi.

Difahamkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali masih lagi belum memberikan maklumat balas mengenai isu ini.

Jamal turut mendesak Azmin Ali supaya bertindak tegas terhadap premis-premis judi berkenaan jika tidak mahu melihat masyarakat melayu islam menjadi 'Tahi Judi' ataupun Mangsa Judi.

Jamal selesai memberi keterangan kepada pihak polis kira- kira jam 2 petang tadi dan Jamal memberitahu tukul besi yang dibawa telah diambil oleh pihak polis untuk dijadikan barang kes.- KITAIKINI