KUALA LUMPUR, 8 SEP - Satu Memorandum Bantahan telah dihantar ke Kedutaan Myanmar di Jalan Tun Razak untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman Kerajaan Myanmar yang menganiayai Etnik Rohingya di negara berkenaan.

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang diwakili oleh Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah bersama Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menghantar memorandum berkenaan kepada wakil rasmi Kerajaan Myanmar di Kedutaan Myanmar di Malaysia.

Armand dan Jamal mengetuai 300 peserta perarakan Solidariti Ummah Untuk Rohingya yang bermula di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur bergerak menuju ke Kedutaan Myanmar berkenaan selepas Solat Jumaat sebentar tadi.

Menurut Jamal, mereka sudah dua kali menghantar memorandum di Kedutaan Myanmar tetapi kekejaman, pembunuhan dan kezaliman masih lagi berlaku di sana, jika selepas menghantar memorandum ini dan perkara ini masih berlanjutan, Jamal tetap akan terus menentang kekejaman terbabit dan berharap Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan Diplomatik dengan Myanmar dan menghantar rakyatnya pulang kembali ke negara asal mereka disana.

Armand pula berkata, pagi tadi mereka telah mendesak pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi tergempar mengenai isu Rohingya ini dan mereka telah meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak boleh mengetuai negara - negara Asia lain untuk mencampuri urusan ini dengan lebih tegas lagi supaya perkara ini dapat diselesaikan.

Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya ini selesai kira - kira pada jam 3 petang tadi - KITAIKINI