SERDANG, 28 SEP - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diberi mandat menerajui pembangunan industri kulinari negara daripada aspek pertanian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mandat tersebut diberikan susulan cadangan daripada kementerian itu yang berhasrat memainkan peranan yang efisien menjadikan kulinari sebagai antara bidang penting sektor agromakanan negara pada masa depan.

Mengumumkan demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK2017) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini, beliau berkata untuk bidang kulinari, belum ada kementerian yang berperanan memberi tumpuan khusus kepada usaha membangunkannya secara lebih tersusun dan efisien.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata industri kulinari merupakan sektor nilai tambah hasil pertanian yang memberi tumpuan kepada sajian makanan tempatan dan harus diterokai serta dipromosi dengan lebih meluas sehingga ke luar negara.

"Bermula sekarang, kementerian sudah boleh melihat bagaimana untuk mentransformasi dan menambah nilai produk pertanian bermula dari ladang hingga ke meja makan, yang pada akhirnya boleh menambah pendapatan semua pemain terbabit," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini dilaporkan berkata kementerian itu sedia memainkan peranan menjadikan kulinari sebagai antara bidang penting sektor agromakanan negara.

Menurut Ahmad Shabery, kulinari yang berkait rapat dengan bidang utama kementerian kini digerakkan secara individu dan pihaknya berpandangan disiplin tersebut perlu diberi perhatian khusus untuk berkembang dengan lebih berstrategik.

Najib berkata kementerian itu kini boleh merangka rancangan untuk mengintegrasikan pengeluaran di peringkat ladang sehingga ke pelbagai premis makanan seperti kafe, restoran, trak makanan, premis pandu lalu serta pesanan makanan secara dalam talian yang kini menjadi satu bidang yang semakin popular. - BERNAMA