KUALA LUMPUR, 28 SEP - Dua remaja berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, dua minggu lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja itu dituduh bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes itu yang bermula pada 12.05 tengah hari sehingga 12.25 tengah hari berlangsung di Mahkamah Majistret 7 di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana ia melibatkan kes juvana. Hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah dan dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohd Nordin Ismail serta Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA