LONDON, 15 SEP - Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan rasa sedih atas tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi semalam, yang menyebabkan 21 pelajar dan dua guru terkorban.

Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Saya mendoakan agar roh mereka disemadikan bersama para syuhada kerana mereka mempunyai iman yang kuat, " katanya pada sidang media selepas pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari United Kingdom Theresa May di pejabat Perdana Menteri UK itu di 10 Downing Street di sini pada Khamis.

Najib seterusnya menasihati pihak pengurusan tahfiz di seluruh negara agar memandang berat aspek keselamatan dengan mematuhi semua garis panduan berhubung keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian serupa berulang. - BERNAMA