KUALA LUMPUR, 29 SEP - Malaysia menjadi platform penting kepada perusahaan Mexico untuk meneroka serta menembusi pasaran rantau Asia, terutamanya dalam industri halal dan pertanian, kata Duta Besar Mexico ke Malaysia, Carlos Felix Corona.

Beliau berkata, terdapat potensi besar meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia, memandangkan Malaysia adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Mexico, pertama di Asia Tenggara dan keempat di Asia.

Menurutnya, kejayaan Malaysia dalam industri halal bakal menjadi pasaran penting dan sebagai batu loncatan bagi syarikat Mexico mengembangkan pasaran ke rantau Asia serta negara Islam terutama dalam pengeluaran dan pengedaran produk halal.

"Mexico perlu banyak belajar mengenai industri halal dan kami telah menjalinkan hubungan dengan entiti yang bertanggungjawab mengenai perkara berkaitan halal di sini (Malaysia) dan cuba untuk mengembangkannya di Mexico," katanya kepada Bernama di sini.

Wawancara itu diadakan menjelang festival makanan 'Flavours of Mexico' yang bakal berlangsung di sini dari 9 hingga 13 Oktober.

Corona berkata, meskipun jarak antara Mexico dan Malaysia sangat jauh namun kedua-dua negara masih berkongsi beberapa elemen sama berkaitan makanan, seperti penggunaan cili serta rempah ratus dalam masakan.

Tambahnya, festival itu bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi persahabatan kedua-dua negara tetapi juga mempromosikan kerjasama dalam sektor perniagaan pertanian.

Mexico adalah satu daripada pengeluar dan pengekport utama tomato dan avokado ke rantau Asia, bagaimanapun katanya, produk itu belum dapat dieksport ke Malaysia kerana perlu memenuhi syarat fitosanitasi (sijil menentusahkan keselamatan tanaman).

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian Malaysia untuk mematuhi beberapa keperluan," katanya.

Selain itu, menurutnya Mexico juga mempunyai sektor lain yang boleh dihubungkan dengan ekonomi Malaysia, memandangkan negaranya adalah pengeluar utama peralatan elektrik dan elektronik selain menjadi antara pengeluar utama paparan kristal cecair dan televisyen plasma di dunia.

Sektor lain yang dilihat berpotensi ialah industri automobil kerana Mexico merupakan pengeluar kenderaan ketujuh terbesar di dunia, katanya.

"Kami telah berhubung dengan sektor automobil di Malaysia mengenai bagaimana Malaysia boleh terlibat dalam saluran pengedaran di Mexico," katanya.

Perdagangan dua hala antara Mexico dan Malaysia berjumlah US$8.8 bilion setahun. - BERNAMA