PUTRAJAYA, 29 SEP - Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 6.00 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Sept, 2017.

Ini melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RN724.10 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 390,000 pemegang akaun yang ketika ini memiliki 12.0 bilion unit, kata Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar.

"AS1M mencatatkan pendapatan bersih RM600.47 juta, pertumbuhan 16 peratus daripada RM517.28 juta pada 2016, susulan prestasi kukuh pasaran ekuiti domestik, terutamanya dalam kaunter kewangan dan perkhidmatan," katanya pada taklimat media mengenai prestasi suku ketiga PNB dan agihan pendapatan AS1M, di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata: "Kami gembira dapat mengekalkan paras dividen bagi AS1M dan prestasi kewangan dana yang lebih kukuh akan membolehkan kami menyimpan rizab tambahan bagi menyokong agihan pada masa depan".

Sementara itu, Abdul Wahid juga mengumumkan PNB mencatatkan pendapatan bersih RM10.05 bilion sehingga 31 Ogos, 2017, pertumbuhan 8.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, manakala aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat 4.2 peratus kepada RM268.6 bilion.

"Daripada jumlah AUM itu, unit amanah saham berjumlah RM228 bilion manakala baki RM40.6 bilion adalah dana milikan syarikat," katanya.

Ketika ini, beliau berkata bahagian bukan Bumiputera bagi unit AS1M telah dilanggan sepenuhnya manakala baki kira-kira RM1.5 bilion adalah bagi unit kouta Bumiputera.



Sementara itu, mengenai senarai permintaan Bajet 2018, beliau berkata PNB berharap kerajaan boleh menimbang insentif yang sesuai yang boleh meningkatkan pertumbuhan modal swasta dan modal teroka bagi negara ini.

Mengenai unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, Abdul Wahid berkata PNB menyemak semula pertumbuhan unjurannya daripada 4.3 peratus kepada 5.3 peratus.

"Kami menyemak semula sasaran KDNK atas sokongan pertumbuhan kukuh daripada sektor pembinaan yang memberikan sebilangan besar projek prasarana yang sedang dibangunkan sekarang dan kami juga melihat momentum daripada sektor pertanian dan pembuatan," katanya. - BERNAMA