KUALA LUMPUR, 29 SEP - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan 500 juta unit dana tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), menjadikan jumlah keseluruhan saiz dana tersebut meningkat kepada empat bilion unit.

Najib berkata penambahan tersebut adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk berkongsi pemilikan benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.

"Pegangan unit yang disediakan oleh AHB semestinya membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera untuk berkongsi pemilikan ke atas aset-aset ini (hartanah komersial di Malaysia), sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil ini," katanya semasa majlis pelancaran penambahan dana itu, di sini, hari ini.

Saiz permulaan dana AHB, yang di uruskan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) itu adalah sebanyak satu bilion unit dan jumlahnya telah ditingkatkan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2012, 2013 dan 2016 kepada 3.5 billion unit.

Sebagaimana tambahan saiz dana sebelum ini, Najib menjangkakan penambahan kali keempat itu akan mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya percaya sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa AHB telah mula mendapat kepercayaan para pelabur berikutan pulangannya yang konsisten dan kompetitif.

"Di samping itu juga, AHB merupakan Skim Patuh Syariah yang mendapat kelulusan Suruhajaya Sekuriti," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi menggalakkan lagi penyertaan pelabur muda dalam AHB, pihak Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera telah bersetuju untuk memberi insentif 50 unit percuma untuk setiap Akaun Remaja.

Peluang tersebut dibuka kepada 200,000 Akaun Remaja baharu, bermula pada 2 Oktober ini.

Sementara itu, Najib berkata untuk mara kehadapan dalam bidang ekonomi, Malaysia mesti melihat kepada keseluruhan ekosistem termasuk dalam pemilikan aset masyarakat Bumiputera dan sosio-mobiliti.

"Kalau ada kelemahan-kelemahan dari aspek tertentu, maka lonjakan dan pencapaian kita dalam bidang ekonomi akan tergugat atau menjadi kekangan kepada kita daripada mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA