KUALA LUMPUR, 21 SEP - Saham CIMB Group Holdings Bhd kembali meningkat hari ini selepas Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (BTMU) menjual kepentingannya dalam kumpulan perbankan itu menerusi dagangan blok semalaman.

Pada 11.30 pagi, saham CIMB meningkat tujuh sen kepada RM6.38 dengan 12.6 juta saham didagangkan.

Maybank Investment Bank dalam nota kajiannya berkata pelupusan 4.6 peratus kepentingan oleh BTMU, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group itu, dilaksanakan pada harga RMR6.20 sesaham.

Ia merupakan diskaun empat peratus daripada harga penutupan Selasa pada RMR6.46, dan pada masa yang sama mengumpul keuntungan kira-kira RM2.56 bilion.

Maybank Investment berkata sebelum transaksi itu, saham CIMB lemah pada kadar kira-kira enam peratus daripada harga penutupan Isnin pada RMR6.69.

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas CIMB dan menambat harga sasaran pada RM7.50. - BERNAMA