KUALA LUMPUR, 23 OGOS - Peminat badminton berpeluang menyaksikan ulangan final badminton pasukan wanita di Sukan SEA Singapura antara Malaysia dan Thailand pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Hanya tinggal selangkah lagi buat pasukan wanita negara merampas kembali kilauan emas yang menjadi milik Thailand apabila tewas 0-3 di Stadium Tertutup Singapura, dua tahun lepas.

Pada perlawanan di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur hari ini, Malaysia menang 3-0 ke atas Indonesia untuk bertemu Thailand di final.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berkata beliau menjangkakan saingan lebih sengit daripada pemain Thailand pada final esok berbanding ketika menentang Indonesia.

"Hari ini memang agak sengit berbanding menentang Myanmar namun saya rasa lebih bersahaja dan menikmati perlawanan. Lawan saya juga beraksi dengan baik cuma saya berjaya atasi kesilapan lawan," katanya kepada media selepas tamat perlawanan pertama menentang Fitriani Fitriani dengan kemenangan 21-17, 21-17.

Kemenangan kedua buat pasukan negara adalah melalui beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei selepas pasangan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Rosyita Eka Putri Sari menarik diri pada mata 7-5 akibat kecederaan.

Aksi bertenaga dan sengit antara Goh Jin Wei dan Hanna Ramadini yang berakhir dengan keputusan 21-16, 21-13 mengesahkan tiket ke final buat Malaysia.

Thailand menewaskan Singapura 3-1 untuk ke aksi final yang dijadualkan 9 pagi esok.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas adalah pada 2009 di Laos. - BERNAMA