PUTRAJAYA, 21 OGOS - Malaysia meraih pingat perak dalam acara Kriterium Wanita Sukan SEA Ke-29 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Pelumba negara Ju Pha Som Net terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun berjaya mengekori rapat pelumba Vietnam Thi That Nguyen yang meraih emas.

Pada edisi ke-28 di Singapura, Ju Pha meraih gangsa dalam acara sama.

Pelumba Thailand yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015 Jutatip Maneephan sekadar meraih gangsa.

Ketiga-tiga pemenang bagaimanapun mencatatkan masa yang sama iaitu masing-masing 1:02:09 saat selepas mengharungi tujuh pusingan melibatkan jarak sejauh 35 kilometer.

Sementara seorang lagi pelumba negara Nur Aisyah Mohamad Zubir yang turut mencatatkan masa yang sama 1:02:09 bagaimanapun mengakhiri saingan di tempat kelapan.

Edisi ke-29 kali ini bagi acara Kriterium wanita juga menyaksikan saingan sengit semua pelumba dengan 11 daripadanya merekodkan masa yang sama iaitu 1:02:09 saat manakala dua lagi peserta masing-masing daripada Kemboja dan Thailand mencatatkan masa 1:02:18 saat dan 1:02:23 saat.

Seramai 13 pelumba mengambil bahagian acara kriterium wanita iaitu daripada Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan tuan rumah Malaysia. - BERNAMA