KUALA LUMPUR, 17 OGOS - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan bola sepak negara menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2017, malam tadi.

What a comeback ! Syabas pasukan bola sepak Malaysia ! #BangkitBersama #Malaysia #Negaraku #Kebanggaanku #KL2017, kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitter.

Pada aksi kedua Kumpulan A, skuad negara berjaya memperoleh dua gol hasil jaringan Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan N.Thanabalan, sekali gus menewaskan pasukan Singapura yang telah mendahului dengan satu gol.

Kemenangan itu membawa Malaysia ke tangga kedua berkongsi enam mata dengan Myanmar yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam perlawanan lain yang turut berlangsung malam tadi.

Skuad negara akan bertemu Myanmar pada 21 Ogos sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Laos pada 23 Ogos. - BERNAMA