KUALA LUMPUR, 22 OGOS - Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Ir Yong Wui Chung hari ini mengangkat sumpah sebagai senator untuk tempoh tiga tahun di Dewan Negara di sini.

Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S.A. Vigneswaran.

Pelantikan Yong, 53, adalah untuk kali pertama, berkuat kuasa hari ini.

Memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil dari Universiti South Dakota State, Amerika Syarikat, Yong menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghargaan dan berjanji akan memberi keutamaan kepada pelbagai isu rakyat tidak kira sama ada di peringkat nasional atau Sabah.

Sementara itu, Vigneswaran berharap ahli politik dari Sabah tersebut dapat bersama-sama memperkasakan imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa. - BERNAMA