MAKKAH, 29 OGOS - Syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasarkan pengendalian operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) pada tahun ini sebagai yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Syarikat itu yang kini di tahun terakhir kontrak pengendalian tren itu, juga mahu pencapaian operasi kali ini menjadi penanda aras yang perlu dipatuhi pengendali perkhidmatan seterusnya, selain meninggalkan satu legasi yang akan mengingatkan kepada kecemerlangan prestasi Prasarana.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) Masnizam Hisham berkata selepas diberikan kontrak itu pada 2015, Prasarana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi, malah pada tahun lalu ia melebihi apa yang ditetapkan.

"Pada tahun lepas kita mencapai 110 peratus prestasi pergerakan tren dan 97 peratus tahap kepuasan penumpang. Pencapaian ini telah pun berada pada tahap yang tinggi untuk kita lepasi pada tahun ini.

"Bagaimanapun kita berharap kita mampu mengulangi prestasi tahun lalu dan mungkin mencapai lebih baik lagi," katanya kepada media Malaysia ketika ditemui sebelum melepaskan 7,600 petugas kawalan penumpang tren di Depoh MMMSL, di sini Isnin.

Masnizam berkata menerusi usaha gigih lebih 600 kakitangan Prasarana selain 7,600 kakitangan sokongan serta dibantu 9,500 anggota keselamatan Arab Saudi, beliau yakin operasi tren berkenaan akan berjalan lancar dan mencapai matlamat yang diinginkan.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan yang terlibat kerana komitmen mereka untuk memastikan kelancaran operasi tren kali ini," katanya.

Prasarana memperoleh kontrak pengendalian operasi tren berkenaan yang bernilai SR800 juta (RM911 juta) pada 2015 dan ketika ini syarikat itu dalam perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menyambungnya.

Pada Selasa tren MMMSL beroperasi sepenuhnya bermula pukul 4 pagi (waktu Arab Saudi) di atas jajaran landasan sepanjang 18.1km merentasi Arafah, Muzdalifah dan Mina mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan.

Dalam tempoh tujuh hari beroperasi, tren itu dianggar akan membawa 350,000 penumpang yang menaikinya melalui sembilan stesen di antara ketiga-tiga lokasi terbabit. - BERNAMA