PUTRAJAYA, 29 OGOS - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Keiichi Ishii di pejabat beliau di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, kedua-dua mereka membincangkan pelbagai perkara termasuk projek Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR).

Cadangan laluan HSR akan memendekkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit berbanding lebih empat jam perjalanan dengan kereta.
Kereta api itu akan membuat beberapa perhentian termasuk di Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum ke Jurong East.

Ishii, yang berada di Malaysia untuk lawatan tiga hari, diiringi Duta Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa.
Semasa di sini, beliau turut dijadual berjumpa dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - BERNAMA