PUTRAJAYA, 28 OGOS - Program Merdeka #QuranHour yang akan diadakan buat julung kalinya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini memberi erti yang sangat besar kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha berkata program tersebut yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat bertujuan memberi persepsi yang betul terhadap amalan membaca Al-Quran, selain memahami dan menghayati kitab suci tu.

"Saya berharap agar seluruh rakyat, terutamanya yang berada di sekitar Lembah Klang, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, mengambil kesempatan untuk menghadiri program Merdeka #QuranHour ini.

"Selain itu, kita juga minta agar masjid-masjid di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur menghantar wakil dari kariah masing-masing untuk menyertai dan mengimarahkan lagi Merdeka #QuranHour. Ini adalah peluang keemasan untuk mendekatkan hati kepada Al-Quran dan membudayakan Al-Quran," katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Merdeka #QuranHour diadakan susulan kejayaan program Malaysia #QuranHour yang diadakan pada 19 Jun lepas.

Sementara itu, pengasas Warisan Ummah Ikhlas, yang merupakan penganjur World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, Datuk Dr Husamuddin Yaacob berkata masyarakat bukan Islam juga digalakkan hadir ke program tersebut kerana tumpuan akan diberikan kepada terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran.

Katanya masyarakat bukan Islam boleh menghayati maksud di sebalik bacaan ayat-ayat daripada kitab suci itu, selain dapat mengubah persepsi mereka.

"Contohnya jika selama ini mereka hanya fikir yang surah Yasin itu hanyalah amalan bacaan pada setiap Khamis malam Jumaat, di program itu nanti mereka akan dapat memahami apa isi kandungan sebenar surah Yasin itu.

"Program Merdeka #QuranHour ini adalah program gerakan ummah dan sehingga Khamis minggu lepas, trending #QuranHour telah mencecah 279 juta hits. Kesedaran dan berkat daripada kempen #QuranHour telah memberikan impak yang sangat besar dalam masyarakat," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf.

Pada 31 Ogos ini, kempen #QuranHour akan dimulakan dengan program World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa pada 10.30 pagi, diikuti program Gema Wahyu di Masjid Jamek pada pukul 4 petang sebelum berpindah ke Dataran Merdeka untuk program Merdeka #QuranHour yang dijangka bermula pada 8.30 malam. - BERNAMA