KUANTAN, 25 OGOS - Tanggal 16 Sept 1963, menjadi hari yang tidak akan luput daripada ingatan Rusnah Aksah kerana pada hari bersejarah itu beliau 'menggalas tugas' amat penting dan menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.

Gadis sunti berusia 12 tahun itu, diamanahkan melepaskan 101 merpati di Stadium Merdeka, pada majlis pengisytiharan pembentukan Malaysia di hadapan 35,000 khalayak termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Daripada ribuan orang yang mungkin layak, saya yang diberi penghormatan itu. Nama saya terpahat dalam sejarah kerana peristiwa keramat itu hanya berlaku sekali sahaja buat selamanya," katanya kepada Bernama, sambil tersenyum mengenang semula peristiwa itu.

Selepas 54 tahun, beliau sekali lagi diberi penghormatan untuk 'mengulangi' detik manis itu dengan melepaskan 60 merpati pada satu acara persembahan Hari Kebangsaan 2017 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, yang disifatkan sebagai penghargaan berganda buat dirinya.

Teruja dengan peranannya pada sambutan hari bersejarah negara itu, Rusnah, 66, berkata beliau akan berbaju kurung serba putih, seperti yang dipakainya pada 54 tahun lalu bagi menghidupkan semula suasana ketika itu dan secara berseloroh beliau berkata 'semuanya siap ditempah dalam masa seminggu selepas rumahnya dikunjungi anggota pada 7 Ogos lalu'.

Bercerita lanjut tentang pemilihannya sebagai 'pelepas 101 burung merpati' yang menjadi simbolik pembebasan negara daripada cengkaman Inggeris, Rusnah berkata ia mungkin disebabkan beliau adalah penerima Pingat Hang Tuah pada 6 Okt 1962 daripada Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Beliau merupakan penerima ketiga pingat itu selepas diperkenalkan pada 1960, dan kekal menjadi penerima perempuan tunggal, daripada semua 18 penerima, sebelum anugerah itu ditamatkan pada 1978.

Katanya pingat Hang Tuah itu diterimanya sebagai menghargai tindakannya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Tan Kim Cheng yang lemas di Sungai Semenyih, Selangor berhampiran dengan berek polis kediaman keluarganya, pada 24 Feb 1961.

"Waktu itu emak mahu ke sungai untuk mengambil wudhu dan saya berjalan di hadapan. Apabila emak sampai, beliau cemas melihat saya di dalam sungai dan terus meminta tolong kerana menyangka saya lemas, sedangkan saya mahu menyelamatkan Tan yang pada mulanya saya sangka haiwan hanyut.

"Saya dapat mencapai kaki budak itu dan bawa ke tepi. Orang sudah berkerumun di tebing sungai dan polis bawa kanak-kanak itu ke hospital. Saya hanya sempat melihat perutnya sudah kembung. Tak sangka perkara itu menjadi besar," katanya.

Rusnah berkata beliau hanya mengetahui 'kejadian itu bukan perkara biasa' apabila bapanya, Aksah Shafie, yang berpangkat konstabel, menerima ucapan tahniah daripada pihak atasan polis kerana memiliki anak yang berani.

Pengiktirafan bertaraf negara buat kali ketiga ini mengingatkan beliau akan ungkapan ibunya, Halimah Daud, semasa beliau diberi penghormatan melepaskan burung merpati bahawa 'ini semua adalah kerana keikhlasan' dalam setiap tindakannya.

"Bila saya terima pingat Hang Tuah, saya tidak mengharapkan balasan tetapi tiba-tiba dipanggil untuk terlibat dengan Hari Malaysia. Sejak itu, saya ingatkan diri amat penting kita ada sikap ikhlas dalam melakukan apa sahaja pekerjaan," katanya.

Sikap itu juga menjadikan tidak ramai yang mengetahui sejarah hidup beliau, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun beliau antara 'orang kuat dalam Wanita UMNO di Pahang', malah pernah menjadi Anggota Jawatankuasa (AJK) Bahagian Pekan dan Maran.

"Saya rasa kalau PM (Najib) jumpa saya pada 31 Ogos ini, mungkin beliau terkejut sebab saya kenal beliau sejak aktif di UMNO Maran. Tapi tidak pernah saya bercerita...tidak tahu pun bagaimana hendak mula bercerita, walaupun pada kawan sendiri," katanya.

Berkongsi pandangan mengenai semangat patriotisme, Rusnah, yang kini menetap di sini bersama anak tunggalnya Nurlina Muhammad Nor, 42, berkata golongan muda kini dilihat kurang bersemangat untuk menyumbang tenaga selain tidak mempunyai semangat patriotik yang tebal dalam diri.

",ereka lahir sudah dalam keadaan senang. Anak-anak semakin manja. Sepatutnya mereka lebih hargai dan lebih patriotik patut tahu jika bukan kerana semangat patriotik orang dahulu, tidak mungkin mereka boleh menikmati kehidupan seperti ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap 'lakonan semula' peristiwa bersejarah negara pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan dapat menyemai sikap patriotik dalam kalangan anak muda, yang berhadapan dengan risiko penjajahan bentuk moden.

Melihat kepada fizikal beliau yang cergas, tiada siapa menyangka bahawa wanita kecil ini pernah lumpuh selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan kerana masalah tulang belakang pada 16 Sept 2012, yang secara kebetulan jatuh pada tarikh yang menyimpan detik manis dalam hidupnya.

"Saya menangis sepanjang berada di hospital kerana tarikh itu sepatutnya menjadi ingatan yang baik. Tapi saya enggan mengalah. Saya masih ingat selepas terima pingat, ada yang memanggil saya sebagai Hang Tuah, maka saya ingatkan diri bahawa saya harus ada semangat cekal sama seperti pahlawan Melayu itu.

"Saya berdoa dan mohon rakan-rakan untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus sihat. Saya mahu mengulang sejarah lama dan mohon sangat semuanya berjalan lancar pada hari itu (31 Ogos 2017)," katanya mengakhiri perbualan. - BERNAMA