JITRA, 23 OGOS - Dua lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden seorang pegawai rendah polis maut ditembak di Taman Sri Hosba, Changlun, Jumaat lepas, direman selama enam hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata perintah reman terhadap suspek lelaki yang masing-masing berumur 35 dan 39 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Seorang daripada suspek berumur 39 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat swasta ditahan di Taman Sayang, Changlun pada pukul 8.50 malam semalam manakala seorang lagi yang bekerja sebagai kerani ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam pada pukul 9.30 malam semalam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ia menjadikan jumlah suspek yang ditahan ketika ini seramai lima orang.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam das tembakan yang dilepaskan ke arahnya. - BERNAMA