KUALA LUMPUR, 22 OGOS - Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu kerajaan Selangor tidak lagi menggunakan Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, Shah Alam selepas pusat itu diambil alih kerajaan persekutuan pada akhir Julai lepas.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata tindakan Selangor itu menunjukan ia seolah-olah tidak menghargai usaha kerajaan pusat membelanjakan RM79 juta untuk menaik taraf tapak berkenaan bagi membantu rakyat Selangor.

"Awal-awal sahaja mereka hantar (sisa pepejal), selepas pihak kementerian ambil alih kerajaan negeri tidak hantar lagi, tetapi terus hantar ke tapak pelupusan di Jeram.

"Kita mahu bantu, kita belanja RM79 juta, tapi mereka (kerajaan negeri Selangor) tidak mahu guna," katanya menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang meminta kementerian menyatakan langkah-langkah segera yang diambil bagi menangani isu dan permasalahan rakyat di negeri Selangor seperti masalah sampah dan penyengaraan perumahan.

Sebelum ini, Menterinya Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata kementeriannya akan membaiki segera Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21 selepas mengambil alih pusat itu akhir Julai lepas.

Tindakan itu dibuat bagi memudahkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kini menghantar sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Jeram kembali menggunakan kemudahan di pusat berkenaan.

Kementerian itu juga dilaporkan mengambil tindakan tidak meneruskan kontrak syarikat pengendali yang dilantik oleh kerajaan negeri apabila ia tamat pada 21 Mei 2017 kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

Berikutan penamatan kontrak itu, pusat pemindahan yang mampu memproses 1,000 tan sisa pepejal ditutup selama tiga minggu menyebabkan empat PBT terbabit terpaksa menghantar sampah ke tapak pelupusan sampah Jeram.

Sementara itu, Halimah berkata kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan rakyat Selangor dan sebaliknya cuba membantu mereka termasuk menguruskan masalah sisa pepejal yang gagal diurus dengan baik oleh kerajaan negeri.

Menjawab soalan tambahan Megat Zulkarnain berkenaan peruntukan yang dibelanjakan kementerian untuk Parlimen Gombak iaitu kawasan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Halimah berkata kementerian meluluskan RM9.4 juta bagi penyenggaraan enam Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan parlimen itu, baru-baru ini.

"KPKT juga luluskan RM6 juta di DUN (Dewan Undangan Negeri) Cempaka bagi penyenggaraan PPR di kawasan berkenaan. Begitulah prihatinnya kerajaan pusat kepada rakyat Selangor, balik dan khabarkan kepada mereka (rakyat Selangor) apa yang kerajaan buat untuk mereka" katanya. - BERNAMA