PUTRAJAYA, 22 OGOS - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima sumbangan 793 ekor lembu korban daripada 16 syarikat korporat untuk sambutan Aidiladha tahun ini.

Ia disampaikan dalam satu majlis akad penyerahan oleh wakil syarikat berkenaan di Perdana Putra, di sini.

Daripada jumlah itu, 458 ekor lembu akan diagihkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Pekan manakala selebihnya akan disumbangkan kepada kawasan-kawasan lain.

Syarikat yang menyumbang ialah Sapura Holdings Sdn Bhd, JL99 Group, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, GIG Technology Holdings Sdn Bhd, Roadcare (M) Sdn Bhd, Ahmad Zaki Resources Berhad dan Bumi Borneo Highway Sdn Bhd.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Zetro Aerospace Corporation Sdn Bhd, Wekajaya Sdn Bhd, AJ Aeroservices Sdn Bhd, S.N. Akmida Holdings Sdn Bhd, DRB-HICOM Berhad, Heitech Padu Berhad dan Icah Sdn Bhd.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Aidiladha pada 1 Sept ini. - BERNAMA