KOTA BHARU, 17 OGOS - Perkhidmatan 'Locker4U' atau peti ubat khas untuk pesakit yang diperkenalkan oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini sejak 2014 kini mendapat sambutan menggalakkan daripada pesakit yang memerlukan bekalan ubat-ubatan secara berjadual.

Melalui perkhidmatan tersebut, seseorang pesakit tidak perlu menunggu terlalu lama di kaunter Farmasi untuk mendapatkan ubat kerana ubat yang diperlukan itu sudah tersedia di dalam peti, hanya buka kunci dan ambil.

Perkhidmatan itu bukan sahaja menjimatkan masa malah melegakan ramai pesakit yang menghadapi masalah ruang parkir kenderaan yang tidak mencukupi di kawasan hospital berkenaan.

Seorang pesakit darah tinggi dan jantung, Mohd Radzi Ab Hamid, 58, yang perlu mengambil bekalan ubat secara berkala, menyifatkan perkhidmatan Locker4U menguntungkan kerana beliau tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berurusan di kaunter Farmasi.

Beliau rasa bertuah mendapat perkhidmatan tersebut kerana tugas untuk mengambil ubat-ubatan itu boleh juga dilakukan oleh anak-anaknya pada tarikh yang ditetapkan.

"Tidak perlu bersusah-susah mencari parkir dan kita hanya perlu berhenti sekejap untuk membuka loker dan mengambil ubat yang tersedia. Terima kasih kepada HRPZII yang menyediakan perkhidmatan ini," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Pengarah HRPZII Dr Selasawati Ghazali berkata kelebihan perkhidmatan itu adalah pesakit yang datang ke hospital tidak perlu mengambil nombor giliran dan menghabiskan masa menunggu di bahagian farmasi.

Beliau berkata pesakit juga boleh mengambil ubat yang diletakkan di situ dalam tempoh 24 jam termasuk di luar waktu bekerja mengikut kesesuaian mereka.

"Dengan adanya Locker4U, ini pesakit tidak perlu membuang masa mencari tempat meletak kenderaan dan pengambilan ubat susulan juga menjadi lebih fleksibel. Paling penting perkhidmatan yang disediakan ini adalah percuma," katanya.

Beliau berkata setakat ini, hospital tersebut menyediakan sebanyak 80 buah peti ubat membabitkan 320 pesakit dan pada setiap peti ubat ada empat kunci berlainan di mana empat pesakit akan berkongsi peti ubat tersebut.

"Setiap pesakit mempunyai kunci berlainan dan mereka akan bergilir mengambil ubat mengikut tarikh yang dimaklumkan oleh kakitangan Jabatan Farmasi. Pesakit biasanya akan menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada kakitangan hospital untuk mereka datang mengambil ubat masing-masing," katanya.

Beliau berkata tidak timbul masalah bertukar ubat kerana sekiranya pesakit yang menggunakan peti sama tidak datang mengambil ubat yang disediakan, ubat itu akan dikutip kembali dan digantikan dengan ubat pesakit lain.

Dr Selasawati berkata bagi mendapatkan perkhidmatan ini, pesakit perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum diberikan kunci peti ubat itu dan membuat janji temu pengambilan ubat susulan.

Beliau berkata perkhidmatan tersebut adalah sesuai bagi pesakit yang stabil dengan pengubatan, mempunyai preskripsi susulan melebihi satu bulan dan patuh serta faham terapi pengubatan dengan baik.

Katanya ubat yang disediakan pula adalah berbentuk dos tablet /kapsul atau sirap bukan sediaan ekstemporaneous, bukan jenis psikotropik serta tidak sensitif kepada perubahan suhu atau kelembapan seperti insulin.

"Sebenarnya Locker4U ini adalah pencapaian membanggakan HRPZII apabila memenangi Johan Kategori Perkhidmatan pada Konvensyen Inovasi dan Kreativiti 2013, Johan Kategori Pengurusan pada Konvensyen Inovasi Jabatan Zon Negeri Timur 2014 dan Johan Kategori Perkhidmatan, Anugerah Inovasi Kementerian Kesihatan pada 2014, " katanya.

Beliau berkata sehingga kini, perkhidmatan tersebut turut diguna pakai antarannya oleh Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh; Klinik Kesihatan Kota Bharu dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu.

Dalam perkembangan sama, Dr Selasawati berkata selain Locker4U, HRPZII turut menyediakan perkhidmatan Dx-Home iaitu penghantaran insulin dan ubat-ubatan lain terus ke rumah pesakit.

Beliau berkata untuk perkhidmatan berkenaan, pihak hospital mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat yang akan menghantar bekalan ubat kepada pesakit yang berdaftar.

Caranya amat mudah iaitu pesakit yang bersetuju boleh mendaftar dengan syarikat terbabit di ruangan kiosk di Jabatan Farmasi HRPZII.

"Untuk perkhidmatan ini syarikat terbabit akan mengenakan bayaran RM15 bagi rumah sekitar Kota Bharu dan RM20 bagi pesakit di kawasan Pasir Mas, Bachok dan Tumpat.

"Bagi pesakit yang tinggal di Pasir Puteh, Machang dan Tanah Merah bayaran dikenakan adalah sebanyak RM25. Bagi perkhidmatan ini hospital tiada perkongsian keuntungan dan menyerahkan kepada syarikat terbabit untuk menguruskannya dan hospital hanya menyediakan ubat. Biasanya ubat yang dihantar adalah insulin bagi pesakit kencing manis yang perlu dikekalkan suhunya di dalam bekas khas, " katanya.

Beliau berkata kesemua perkhidmatan yang disediakan oleh HRPZII adalah bagi membantu meringankan beban pesakit dan orang ramai yang adakalanya datang dari jauh. - BERNAMA