KUALA TERENGGANU,17 OGOS - Kerajaan Terengganu mengenal pasti dua lokasi iaitu Kampung Ladang, Kuala Terengganu; dan Kampung Telaga Papan, Setiu; untuk dibangunkan sebagai Hab Digital tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembangunan hab itu di kawasan Ladang akan dijalankan dalam tempoh tiga bulan menerusi peruntukan RM17 juta daripada Kementerian Kewangan.

"Sekarang ini sedang perhalusi untuk Kampung Telaga Papan, kalau kawasan itu dijadikan sebagai pusat Digital kita akan jadi negeri pertama melaksanakan program digital ini," katanya selepas Program Wacana Intelektual Transformasi Terengganu Baharu ke arah Transformasi Nasional 2050 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, malam tadi.

Ahmad Razif berkata Hab Digital berkonsepkan teknologi maklumat percuma itu juga akan menjadi pusat sehenti kepada usahawan dalam talian seluruh negeri ini.

Jelasnya Hab Digital di Kampung Ladang itu juga akan beroperasi di bangunan milik kerajaan negeri dan proses pengubahsuaian kedai akan mengambil masa tiga bulan sebelum beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan depan. - BERNAMA