KOTA BHARU, 16 OGOS - Bekas pengarah Kawalselia Padi dan Beras cawangan Kelantan, Nik Yaacob Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM3,500 bagi memudahkan urusan mendapatkan permit kebenaran memindahkan beras.

Nik Yaacob, 60, dituduh secara rasuah memperoleh suapan itu daripada Sufian Mohd Nor di Restoran Al Khatiri, Kubang Kerian di sini pada kira-kira 3.25 petang 12 April lalu iaitu ketika tertuduh berjawatan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras cawangan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Nik Yaacob diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Hakim Adli Abd Ghalib membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes itu pada 24 Sept.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nurdalilah Md Daud. - BERNAMA