PUTRAJAYA, 16 OGOS - Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini untuk prosiding reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes.

Mohd Isa yang berbaju lokap SPRM dan bergari serta diiringi anggota SPRM, tiba pada 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Beliau kelihatan tenang dan mengukir senyuman kepada anggota keluarga, penyokong serta media yang menunggu sejak 8 pagi.

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang turut menunggu di perkarangan mahkamah, kelihatan menangis ketika suaminya itu tiba di mahkamah.

Mohd Isa ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini untuk memberi keterangan. - BERNAMA