BALING,13 OGOS - Lebih 1,000 penduduk dari 51 buah rumah membabitkan lima buah kampung menjadi mangsa banjir kilat yang melanda daerah ini buat kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Sri Keteng, Kampung Batu 60, Kampung Bukit Sebelah, Kampung Baru dan Kampung Lalang.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan petempatan penduduk dinaiki air.

"Bagaimanapun, sehingga 6.30 pagi tadi keadaan kembali pulih dengan paras air semakin menurun. Mangsa yang sebelum ini dipindahkan sementara waktu ke tempat tinggi, sudah pulang dan mula membersihkan rumah secara bergotong-royong.

"Tiada pusat pemindahan rasmi dibuka manakala penduduk sudah diberikan bantuan awal oleh pelbagai pihak termasuk pasukan bridged bencana Pejabat Anggota Parlimen Baling, bomba, polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), " katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehingga Jumaat lepas, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas akibat banjir kilat di beberapa mukim di daerah ini ialah 535 buah dengan 2,420 penduduk menjadi mangsa, bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan paras air semakin menurun semalam. - BERNAMA