SEREMBAN, 12 OGOS - Seorang pemandu lori tangki yang membawa muatan asid kimia maut apabila lori yang dipandunya terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kereta di KM251.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran tol Senawang awal pagi ini.

Pemandu berkenaan Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di tempat kejadian. Kemalangan itu juga menyebabkan dua wanita dalam lingkungan 30 an yang menaiki kereta Toyota Vois cedera parah.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dalam kemalangan pada 3 pagi itu, pasukan Hazmat menyembur buih ke atas lori tangki yang terbalik itu sebagai langka berjaga-jaga ekoran asid yang tertumpah di jalan raya.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan trafik ke arah selatan sesak sehingga empat kilometer dan kini kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

"Seramai 20 anggota dari Balai Bomba Senawang, Seremban 2 dan Rembau termasuk pasukan Hazmat bergegas apabila panggilan pada 3 pagi dan tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian.

Mayat pemandu lori tangki itu dihantar Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat manakala kedua-dua wanita yang cedera parah dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut. - BERNAMA