SITIAWAN, 9 OGOS - Seorang lelaki yang dikatakan kurang siuman ditahan selepas membunuh adik lelakinya di rumah mereka di Simpang Lima, Pekan Gurney di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7 malam.

Muhammad Hanif berkata mangsa yang berumur 15 tahun itu ditikam menggunakan pisau oleh abangnya yang berumur 30 tahun yang mempunyai masalah mental.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham. Suspek yang dipercayai ada sakit mental telah menggunakan pisau menikam adiknya.

"Akibat kejadian itu adiknya telah meninggal dunia di ruang tamu di rumah tersebut,"katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hanif berkata suspek kemudiannya berjaya ditahan di rumah berkenaan dan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA