MAKKAH, 9 OGOS - Demi keselesaan dan kemudahan kepada jemaah haji Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) membekalkan 'info kit' bagi membantu mereka mendapatkan pelbagai maklumat berhubung perkhidmatan yang disediakan agensi berkenaan di Tanah Suci ini.

Pengurus Maktab 82 Musim Haji 1438 Hijrah di Hotel Land Premium, Ashrof Shamsuddin berkata dengan membekalkan segala maklumat dalam satu risalah dapat memudahkan jemaah terutama untuk pergi dan balik ke maktab penginapan berkenaan.

"Dalam info kit ini, terdapat panduan perjalanan pulang dari Masjidil Haram bermula dari pintu King Fahd sehingga ke maktab penginapan serta peta laluan tersebut. Turut dimasukkan, perkhidmatan disediakan di maktab seperti kaunter kewangan, perubatan dan bimbingan ibadah haji, katanya kepada pemberita di hotel itu, di sini.

Hotel berkenaan menempatkan tiga maktab penginapan - Maktab 82, 84, serta sebahagian 85 dan dijangka menerima keseluruhan 4,800 jemaah bagi musim haji tahun ini.

Ashrof berkata beberapa peringatan penting juga dinyatakan dalam risalah tersebut, antaranya dilarang merokok di bilik penginapan, menjaga kebersihan bilik penginapan dan saling mengambil perhatian kebajikan rakan sebilik.

"Nombor telefon pengurusan maktab turut disediakan bagi memudahkan jemaah berhubung jika ada masalah. Info kit ini hendaklah sentiasa ada dalam beg sandang jemaah, "katanya bahawa setakat ini, hotel berkenaan yang menempatkan tiga maktab penginapan, sudah menerima hampir 2,000 jemaah.

Beliau berkata risalah tersebut yang diletakkan di atas katil jemaah semasa mereka mula mendaftar masuk, didapati banyak membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan.

"Jemaah juga dibekalkan Kad Muassasah Asia Tenggara (pengendali haji di Arab Saudi) dan dipakai bersama lencana pengenalan diri. Jika jemaah tersasar, mereka hanya perlu menunjukkan kad itu kepada pihak berkuasa Arab Saudi dan mereka akan membantu menunjukkan arah balik ke maktab,"katanya bahawa kad itu ditulis dalam bahasa Arab.

Sementara itu, Pengurus Maktab 80 di Hotel Zwar al Bit, Ahmad Hafizudin Abas berkata pada masa ini, 1,510 jemaah datang dari Madinah, serta yang berlepas terus dari Kuala Lumpur melalui Jeddah sebelum bergerak ke Makkah, sudah mendaftar di maktab penginapan berkenaan.

"Maktab penginapan ini baharu dan paling hampir dengan Masjidil Haram kira-kira 600 meter. Beberapa perkhidmatan disediakan seperti penghantaran bagasi, perkhidmatan i-Talk dan lain-lain, "kata beliau bahawa pihaknya turut menyediakan risalah maklumat kepada jemaah haji.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menyediakan penanda tempat bangunan tinggi berhampiran maktab bagi memudahkan jemaah mengenal pasti laluan pulang dengan mudah.

"Untuk pulang ke maktab, mereka pasti akan melalui bawah jambatan dan di sebelah kanan adalah plaza membeli-belah. Itu antara penanda tempat yang mudah untuk mereka balik ke maktab penginapan, " katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Maktab 85 di Hotel Rehab Al-Janadriyah, Amat Kassim Pait berkata sehingga kini pihaknya telah menerima 1,200 jemaah.

"Maktab ini boleh menempatkan sehingga 2,700 jemaah, dan jarak ke Masjidil Haram sekitar 950 meter. Jemaah haji mempunyai pilihan sama ada hendak berjalan kaki ke masjid ataupun menaiki van dan teksi, "katanya bahawa pihaknya juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan. - BERNAMA