KUALA LUMPUR, 23 OGOS - MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) akan mengadakan taklimat kedua industri pada 26 Sept di London bagi meneruskan proses penglibatan pasaran dalam projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MyHSR Corp dan LTA berkata taklimat tersebut akan memberikan maklumat tambahan dan terkini membabitkan tender penubuhan syarikat aset persendirian yang dibiayai swasta (AssetsCo).

Ia juga akan menjawap pertanyaan utama yang dibangkitkan oleh pasaran susulan taklimat pertama industri pada 5 Julai lepas di Singapura.

Sama seperti taklimat sebelumnya, program ini terbuka kepada entiti yang berkelayakan, yang berminat untuk menyertai tender projek AssetsCo projek, yang akan dikeluarkan pada akhir tahun.

AssetsCo akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai, mengendalikan dan menyelenggara semua saham dan aset kereta api, termasuk kerja-kerja trek, tenaga, isyarat dan telekomunikasi.

Ia juga akan menyelaras keupayaan rangkaian sistem untuk keperluan operasi dan penyelenggaraan.

"Taklimat pertama industri disertai lebih 400 peserta daripada 165 entiti antarabangsa dan tempatan, dan kami mengadakan perbincangan mendalam dengan mereka.

"Kami akan menjemput pihak yang berminat untuk menghadiri taklimat kedua ini, memandangkan sesi ini akan menyediakan pasaran dengan maklumat untuk membentuk perkongsian dan bersedia untuk memasuki tender AssetsCo," kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

LTA dan MyHSR Corp bekerjasama rapat untuk terus membangunkan parameter tender dan spesifikasi teknikal, kata Ketua Eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping.

"Kami mahu berkongsi maklumat baharu dengan pasaran, supaya pihak yang berminat lebih bersedia.

"Kami berharap dapat meneruskan dialog dengan industri pada September dan menerima tawaran berkualiti untuk tender AssetsCo," katanya.

Pihak yang berminat boleh mengunjungi laman web MyHSR Corp (www.myhsr.com.my) atau laman web LTA (https://www.lta.gov.sg/content/ltaweb/en/featured-projects/hsr.html) untuk mendapatkan maklumat dan butiran lanjut mengenai pendaftaran untuk taklimat Industri. - BERNAMA