NEW DELHI, 23 OGOS - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pihak Berkuasa Pengawal Selia Telekom India (TRAI) menandatangani perjanjian kerjasama bagi pembangunan keupayaan dalam pengawalseliaan telekomunikasi dan penyiaran.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC Datuk Seri Dr Halim Shafie dan Pengerusi TRAI Ram Sewak Sharma.

Ia akan membantu kedua-dua badan pengawal selia itu bekerja secara lebih rapat dalam meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala, kata TRAI dalam satu kenyataan pada Selasa.

Perjanjian itu akan membolehkan pertukaran maklumat dan amalan terbaik kawal selia dalam penyiaran dan telekomunikasi.

Kedua-dua pengawal selia bersetuju bekerjasama dalam forum antarabangsa dan serantau seperti Telekomunikasi ASEAN-Asia-Pasifik dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Pengerusi SKMM juga menghadiri mesyuarat meja bulat pengawal selia Asia-Pasifik yang dianjurkan oleh ITU dan TRAI di New Delhi selama dua hari mulai 21 Ogos, - BERNAMA