KUALA TERENGGANU, 5 JULAI - Tahap kecergasan yang rendah serta sikap tergesa-gesa antara punca skuad The Titans dihukum di laman sendiri dalam aksi Piala Malaysia di sini, malam tadi selepas tewas 2-1 dengan pasukan pelawat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Pengendalinya Rahmad Darmawan berkata pasukan lawan mempunyai beza satu hari waktu rehat berbanding pasukannya yang beraksi dalam Liga Super.

"Itu kelebihan pasukan lawan bermain dalam Liga Perdana dan kita akan mencari inisiatif bagi mengatasi permasalahan itu sekali gus meningkatkan mutu permainan.

"Pasukan lawan juga bermain dengan agresif dan kesilapan kita yang lambat mengeluarkan bola juga digunakan sepenuhnya pihak lawan untuk menghasilkan gol," katanya kepada pemberita selepas tamat permainan semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, kedua-dua gol lawan dijaringkan oleh ketua pasukan itu Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-22 dan 51.

Gol tunggal tuan rumah pula dihasilkan pemain import Mohamadou Samassa pada minit ke-50.

Rahmad dalam pada itu berkata beberapa perubahan dan pertukaran pemain akan dilakukan pada aksi menentang Negeri Sembilan selepas ini.

"Putaran pemain itu perlu jika kita tidak buat, keadaan akan menjadi lebih sukar," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim berkata walapun 90 peratus daripada pemainnya tidak pernah beraksi dalam saingan Piala Malaysia namun mereka cuba memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan.

Jelasnya matlamat mereka hanya satu, ingin melakarkan kemenangan dalam setiap perlawanan dengan disiplin yang tinggi pada semua pemain.

"T-Team sebuah pasukan yang kuat namun aksi yang konsisten, berdisiplin kita mampu memberikan tentangan walaupun rata-rata pemain tidak pernah beraksi dalam saingan Piala Malaysia," katanya. - BERNAMA