IPOH, 20 JULAI - Polis Perak menahan dua anggotanya masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal kerana disyaki membawa masuk barang larangan ke dalam lokap polis di sini, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan negeri Datuk Gan Tian Kee berkata kedua-dua anggota berkenaan ditahan di perkarangan Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira 10 malam, Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan menemukan dua plastik beg sampah yang mengandungi bateri, rokok, botol minuman, coklat, ubat gigi, kek serta daun terup dalam sebuah kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan akan mengklasifikasikan kes mengikut kesesuaian kesalahan dilakukan. - BERNAMA