SEREMBAN, 19 JULAI - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail yang meninggal dunia malam tadi.

Najib, diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, tiba di kediaman Asnah Salleh, kakak Allahyarham, di Taman Rashidah Utama, di sini pada pukul 10.24 pagi untuk mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di kediaman itu, turut bersama membacakan surah Yasin.

Turut menziarah ialah Pengerusi Indah Water Konsortium Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Mohd Ali Rustam, barisan exco kerajaan negeri serta pemimpin parti komponen.

Ishak yang merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal, meninggal dunia 11.25 malam tadi di Hospital Tuanku Najihah Kuala Pilah, akibat serangan jantung.

Allahyarham menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran ADUN Seri Menanti Datuk Abd Samad Ibrahim di Tanjong Ipoh sebelum dilaporkan pengsan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan.

Ishak yang berasal dari Kampong Pantai Seremban, meninggalkan isteri Datin Norimah Ujang dan empat orang anak.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kariah Paroi Jaya, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai. - BERNAMA