PUTRAJAYA, 13 JULAI - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Vietnam Truong Hoa Binh di pejabat beliau di sini hari ini.

Majlis itu yang bermula pada 11 pagi, berlangsung kira-kira 15 minit, dengan kedua-dua pemimpin berbincang tentang pelbagai isu.

Malaysia dan Vietnam menjalin hubungan dan kerjasama dua hala sejak 44 tahun lepas dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan.

Tahun lepas, nilai perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Vietnam berjumlah kira-kira US$10.3 bilion.

Susulan pemeteraian perjanjian Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam pada 2015, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala kepada US$15 bilion menjelang 2020.

Truong tiba di sini pada Selasa lepas untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjadi timbalan perdana menteri pada 9 April tahun lepas. - BERNAMA