KULAI, 7 JULAI - Kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Koperasi Negeri Johor yang bertujuan untuk menjamin pembangunan usahawan koperasi dalam negeri dan menjadikan koperasi sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Johor, Ismail Mohamed berkata ia akan dilancarkan pada Hari Koperasi yang bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos ini.

"Pelan ini akan menghimpunkan ahli-ahli koperasi terbaik di Johor dan mereka akan saling membantu bertukar pandangan dan pendapat tentang cara terbaik meningkatkan daya saing mereka.

"Sehingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 1,324 koperasi berdaftar dengan jumlah anggota seramai 481,248 orang. Daripada jumlah tersebut, kita telah menyenaraikan 50 koperasi terbaik dengan dua daripadanya tersenarai sebagai koperasi terbaik dalam negara," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Katanya, dua koperasi berkenaan ialah Koperasi Pekebun Kecil Wilayah Johor Selatan (KOPRIS) dan Koperasi Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Bhd.

"KOPRIS yang beroperasi di Mersing, telah dilantik sebagai mentor dalam bidang ternakan lembu tenusu yang melibatkan beberapa koperasi negeri Johor dan luar Johor.

"Sementara itu, Koperasi Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru juga dilantik sebagai mentor untuk membantu koperasi-koperasi teksi yang lain. Dua koperasi ini kita akan gerakkan program untuk membantu koperasi-koperasi lain, mengguna pakai model pengurusan yang mereka jalankan lain, sekali gus meningkatkan daya saing koperasi lain," jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya juga telah membincangkan gerak kerja untuk membantu usahawan koperasi memasarkan produk dan keluaran mereka ke luar negara.

Katanya, koperasi tempatan perlu lebih aktif mempromosikan diri mereka bagi memenuhi permintaan pasaran dalaman dan luar negara.

"Misalnya, industri makanan kita memang mendapat permintaan tinggi seperti makanan kering dan sejuk beku yang kebanyakannya adalah produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti ikan dan ayam sejuk beku," jelasnya.

Katanya, penyelarasan di peringkat akar umbi perlu dibuat agar produk-produk yang berpotensi dapat diketengahkan di mana pengeluar produk perlu mencadangkan produk mereka untuk ditambah nilai dan dipasarkan ke luar negara.

Tahun lepas, perolehan koperasi negeri Johor adalah sebanyak RM826.20 juta iaitu peningkatan sebanyak 16.76 peratus berbanding perolehan sebanyak RM707.59 juta pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini dijangka meningkat sebanyak lebih RM900 juta pada tahun ini.

Pemilikan modal syer dan yuran pula adalah sebanyak RM298.55 juta dan telah berjaya mengumpul aset sebanyak RM917.27 juta. - BERNAMA