KUALA LUMPUR, 4 JULAI - Heidy Quah, pengasas pertubuhan Refuge For The Refugees (RFTR) hanya berumur 17 tahun apabila beliau mengambil keputusan untuk melaksanakan aktiviti yang bermakna dan produktif dalam hidupnya sebelum melanjutkan pelajaran ke kolej.

Selepas tamat persekolahan sekolah menengah, wanita ini dan rakannya Andrea yang merupakan pengasas bersama RFTR mencari-cari peluang untuk menjadi sukarelawan apabila mereka bertemu dengan sebuah sekolah pelarian di Sungai Besi di sini yang memerlukan tenaga pengajar.

Jadi mereka pergi ke sekolah itu sebagai guru sukarelawan pada 2012 dan pada mulanya sekadar merancang untuk berada di sana selama hanya empat bulan.

Namun selepas empat bulan, mereka mulai sedar bahawa kanak-kanak pelarian di sekolah itu sebaliknya telah mengajar mereka untuk memberi lebih banyak lagi sebagai pulangan iaitu nilai yang tidak dapat mereka pelajari di sekolah atau univeeristi.

"Apabila kami bertemu guru besarnya untuk memberitahu masa kami di sekolah itu sudah hampir selesai kerana kami mahu memulakan pengajian kami di kolej, beliau berkata ia tidak mengapa kerana sekolah itu pun akan ditutup tidak lama kerana kekurangan dana."

"Kami terkejut apabila mendengar berita itu dan pada masa yang sama merasa ia tidak adil bagi kenak-kanak tersebut. Kami akan melanjutkan pelajaran kami sedangkan pelajaran untuk mereka akan dihentikan."

"Bagaimana kami akan membiarkannya begitu sahaja. Jadi kami mengambil keputusan untuk mengendalkan RFTR sebagai projek untuk mengumpul dana dan membawa kesedaran," kata Quah, 23, kepada Bernama.

Menurutnya, apabila lebih ramai orang datang untuk membantu kerja-kerja mereka, mereka mengambil keputusan untuk menjadikan projek tersebut sebagai pertubuhan yang bukan mencari keuntungan bagi melakukan kajian dan memiliki ketelusan dalam transaksi kewangan.

RFTR ialah pertubuhan yang mahu menyemai kesedaran mengenai pelarian Myanmar di Malaysia selain menyediakan pelajaran bagi kanak-kanak pelarian.

Ia mengendali 10 buah sekolah pelarian, sembilan di Lembah Klang dan sebuah di Pulau Pinang dan dalam proses menubuhkan 25 sekolah di Myanmar.

Bagi kerja-kerja cermerlangnya dalam RFTR, Quah telah dipilih sebagai antara 60 penerima daripada 62 negara Komanwel untuk menerima anugerah berprestij Queen's Young Leaders Award pada Khamis lalu di London.

Beliau yang merupakah pelajar akauntan dan kewangan di sebuah koleh swasta di sini merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima anugerah tersebut daripada Ratu Elizabeth 11 pada tahun ini. Beliau merupakan rakyat Malaysia kedua yang menerima medal itu selepas Calvin Woo, 22, yang menerimanya tahun lalu atas sumbangannya kepada pelajar kurang bernasib baik.

Untuk dipilih menerima anugerah ini adalah satu penghormatan buat saya. Namun anugerah ini bukan hanya untuk saya sahaja, ia adalah untuk para aktivis yang menyokong kanak-kanak kurang bernasib baik dan melakukan aktiviti yang menjadikan Malaysia sebagai tempat yang lebih baik untuk didiami.

"Tidak pernah saya terfikir dalam hidup saya, saya akan bertemu Queen apatah lagi akan menerima anugerah daripada baginda. Ini adalah lawatan ketiga saya ke London. Setiap kali saya pergi ke London, orang akan berkata hei, kamu akan bertemu Queen. Kali ini saya beritahu mereka ya saya secara literal akan bertemu Queen," katanya.

Menyifatkan ia sebagai mengagumkan, beliau berkata lawatan ke London lebih daripada sekadar bertemu Queen.

"Sekadar untuk bersama rakan-rakan penerima anugerah yang lain dan menyedari setiap orang di sana akan melakukan sesuatu yang mempunyai impak ke atas negara mereka, ia akan mengujakan untuk mendengar cerita mereka dan pengorbanan yang mereka lakukan sehingga mereka berada di mana mereka sekarang," kata Quah menambah beliau turut teruja untuk duduk bersama di meja makan bersama Putera Harry iaitu cucu Queen selepas acara tersebut.

Mengenai saat ketika beliau diberitahu mengenai anugerah itu, Quah berkata ia adalah pada hari Sabtu dalam bulan November tahun lalu ketika beliau mahu makan tengah hari bersama Andrea.

"Sebelum itu saya menerima mesej teks daripada Jawatankuasa Pemimpin Belia Queen yang bertanyakan sama ada saya boleh menerima panggilan kerana mereka mahu mendapat beberapa maklumat mengenai pencalonan saya.

"Kami dijadual menerima penggilan telefon pada pukul 3 petang pada hari yaang sama. Jadi pada pukul 3 petang, panggilan itu datang. Ia diluar jangkaan dan jantung saya berdegup kencang sehingga mereka memberitahu saya adalah antara penerimanya. Ia adalah hari terbaik bagi saya," kata anak kelahiran Petaling Jaya ini.

Dilancarkan pada 2014, anugerah itu mengiktiraf dan meraikan individu cemerlang yang berumur antara 18 hinga 29 tahun dari seluruh Komanwel yang mendahuli komuniti mereka dan menggunakan kemahiran mereka untuk mengubah kehidupan insan.

Pemenang anugerah akan menerima pakej latihan, khidmat mentor dan rangkaian perhubungan termasuk program residen selama seminggu di United Kingdom di mana pada ketika itu mereka akan menerima anugerah daripada Queen.

Ditanya bagaimana beliau membahagi masa sebagai ppelajar dan aktivis, Quah berkata ia memerlukan disiplin yang tinggi dan memilih keutamaan secara bijaksana.

"Saya tidak kesal melakukan apa yang sedang saya lakukan kerana saya dapat pelajari lebih banyak lagi daripada apa yang saya lakukan jika saya tidak terbabit dengan kerja-kerja ini. Berpengalaman bekerja di lapangan dan mengedali pelbagai pertubuhan meletakkan saya ke hadapan dalam dalam soal membangunkan kemahiran komunikasi saya.

"Nasihat saya kepada rakan-rakan yang lain ialah untuk tidak takut menjadi orang yang berbeza. Dunia mengharapkan lebih lagi daripada kita. Apabila kita bangun dan menjadi berbeza dalam prinsip kita, banyak lagi yang dapat kita capai," katanya. - BERNAMA