PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 5 JULAI - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan berkata tindakan Korea Utara itu merupakan satu lagi pelanggaran terhadap resolusi Majlis Keselamatan serta membahayakan keadaan.

Guterres turut menggesa Korea Utara untuk memenuhi obligasi antarabangsa dan menghentikan segera sebarang tindakan provokatif.



"Setiausaha Agung PBB juga menegaskan betapa pentingnya masyarakat antarabangsa bersatu dalam menangani cabaran getir ini," katanya.

Pyongyang mendakwa ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) semalam adalah yang pertama berjaya dilancarkan negara itu. - BERNAMA