KUALA LUMPUR, 13 JULAI - AirAsia akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Alor Setar untuk memenuhi permintaan sempena sambutan Aidiladha pada 1 Sept.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, kekerapan penerbangan ke destinasi Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Alor Setar akan ditambah bagi tempoh antara 26 Ogos dan 3 Sept manakala lebih banyak penerbangan ke Johor Bahru antara 20 Ogos dan 12 Sept.

"AirAsia juga menawarkan potongan 20 peratus untuk semua tempat duduk, bagi semua penerbangan mulai hari ini hingga 16 Julai, untuk perjalanan antara 17 Julai dan 23 Nov, 2017.

"Tempahan boleh dibuat melalui www.airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia dan AirAsiaGo, selain itu anggota AirAsia BIG boleh menebus penerbangan ketika tempoh jualan ini menggunakan mata AirAsia BIG mereka," katanya.

Penumpang AirAsia digalakkan berada di lapangan terbang tiga jam sebelum waktu pelepasan dan daftar masuk melalui laman web, perkhidmatan mudah alih atau kios bagi mengelak kesesakan yang dijangka. - BERNAMA