KUALA LUMPUR, 6 JULAI - Unit Bina Puri Holdings Bhd, PT Megapower Makmur (MPOW), mencatat kejayaan cemerlang dalam penyenaraiannya di Bursa Saham Indonesia (IDX) semalam, dengan harga pembukaan sebanyak Rp340 (RM0.11), atau 70 peratus lebih tinggi daripada harga penawaran pada Rp200 sesaham.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bina Puri berkata unit itu, pengeluar elektrik bebas, menyenaraikan 245 juta saham (30 peratus) menggunakan kod MPOW.

Ini merupakan syarikat bukan kerajaan (GLC) pertama yang berjaya disenarai di Bursa Saham Indonesia (IDX), Bursa Efek Indonesia, kata Bina Puri.

Pengarah MPOW dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee berkata syarikat itu berbangga menjadi syarikat bukan GLC pertama dari Malaysia yang berjaya disenarai di IDX dan pengeluar kuasa elektrik bebas kedua yang disenaraikan di sini (IDX).

Syarikat itu memperoleh Rp 49 bilion, separuh daripadanya akan digunakan untuk membayar hutang syarikat kepada pemegang saham dan sebahagian lagi untuk pengembangan syarikat,? katanya.

Tahun ini, kami menyediakan satu atau dua lesen serta kajian ke atas sebuah loji mini hidro di Sulawesi Selatan dengan kapasiti kira-kira 10 megawatt. Diharapkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, kami dapat memperoleh anggaran sebenar.

"Pada masa ini, MPOW mengendalikan lapan loji janakuasa diesel dengan kapasiti 54 megawatt di lapan lokasi di seluruh Indonesia serta loji hidro mini di Sulawesi Selatan," katanya.

Tee berkata dengan kapasiti tambahan sebanyak 4.2 megawatt dari loji mini hidro yang beroperasi sejak tahun lepas kepada lapan loji janakuasa diesel syarikat, keluaran keseluruhannya boleh mencapai kira-kira 59 megawatt.

PT Megapower Makmur ditubuhkan pada 2007. Ia mengendalikan loji hidroelektrik dan diesel di Indonesia.

Syarikat itu memulakan operasi komersial pada 2010, apabila ia memperoleh kontrak dari syarikat elektrik milik negara Indonesia, Perusahaan Listrik Negara, di Pulau Bangka Belitung, Indonesia.

Selepas penyenaraian, Bina Puri, melalui Bina Puri Power Sdn Bhd, memiliki 56 peratus daripada MPOW. - BERNAMA