SIBU, 9 JUN - Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Dudong, Wong Ching Yong, 59, cedera di bahagian muka dan kiri badan setelah disimbah cecair dipercaya asid oleh dua lelaki di Lorong Tuanku Osman 4, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, seorang akauntan, sedang menuju ke keretanya di tempat parkir berhampiran pejabatnya sebelum dua lelaki menaiki motosikal menghampiri dan menegurnya.

Ketua Polis Daerah Sibu, SAC Saiful Bahri Abdullah berkata sebaik mangsa menoleh setelah namanya dipanggil, salah seorang daripada lelaki itu terus menyimbah asid ke muka dan badan mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa melecur 18 peratus di muka dan bahagian kiri badannya," katanya semasa dihubungi melalui aplikasi Whatsapp hari ini.

Difahamkan selepas kejadian, Wong telah berlari ke sebuah kedai berhampiran untuk membasuh muka, tangan dan badannya sebelum dibawa oleh abangnya ke sebuah hospital swasta di sini untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, identiti suspek masih belum dikenal pasti dan sedang giat mengesan suspek tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan cecair yang menghakis.

Difahamkan, Wong merupakan antara tiga individu yang dikenal pasti sebagai calon SUPP untuk kerusi Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. - BERNAMA