GEORGE TOWN, 22 JUN - Semua ibubapa mahu supaya anak mereka kelihatan segak pada Hari Raya Aidilfitri nanti dan salah satu aspek penting untuk kelihatan bergaya selain pakaian ialah rambut.

Namun dengan meningkatnya bayaran upah menggunting rambut ada kalanya membenbankan terutama ibu bapa terutama yang mempunyai ramai anak.

Justeru Pergerakan Pemuda Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Pulau Pinang menganjurkan Program Jom Gunting Rambut Percuma yang bertemakan Bergaya Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Menurut Ketua Pergerakan itu, Mohammed Hafiz Mohamed Abu Bakar, program itu bertujuan mengurangkan beban terutama ibu bapa pada sambutan Aidilfitri yang akan menjelang beberapa hari lagi.

Seramai 100 orang terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas menggunting rambut secara percuma pada program berkenaan yang diadakan di Bois Barber Shop, Taman Pelangi Indah, Lintang Sungai Pinang malam tadi. - BERNAMA