KOTA KINABALU, 22 JUN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tetap bersiap siaga menjelang sambutan Aidilfitri ini, walaupun rekod menunjukkan insiden kebakaran pada musim perayaan itu menurun dari tahun ke tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jemros Olin berkata antara persediaan yang dibuat termasuk rondaan di kawasan berisiko seperti tumpuan orang awam dan perumahan serta pemantauan keselamatan jalan raya.

"Berdasarkan statistik kes panggilan kebakaran melibatkan rumah kediaman sepanjang sambutan Aidilfitri tahun lepas, sebanyak 22 kes direkodkan berbanding 39 dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya, manakala pada 2014, kes panggilan kebakaran pula berjumlah 58 kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Kempen Mencegah Kebakaran di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa memastikan semua aspek keselamatan menjadi keutamaan di mana sahaja.

Sejak tiga tahun lalu kebanyakan kejadikan kebakaran melibatkan kediaman ketika musim perayaan adalah disebabkan kecuaian penggunaan perkakasan elektrik.

"Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan, antaranya sentiasa memastikan suis utama elektrik kediaman dimatikan dan palam perkakasan elektrik dicabut daripada soket sekiranya tidak digunakan dan ketika meninggalkan rumah," kata Jemros.

Selain itu, JBPM Sabah turut mengekalkan kekuatan pegawai dan anggota di balai untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Menurutnya, hanya 20 peratus daripada hampir 1,000 pegawai dan anggota di seluruh negeri dibenarkan bercuti, bagaimanapun kesemua mereka sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. - BERNAMA