KUANTAN, 22 JUN - Mereka yang menghidap penyakit disarankan membawa rekod perubatan dan preskripsi ubat semasa pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha'ari Ngadiman berkata rekod perubatan dan preskripsi itu penting untuk pesakit mendapatkan bekalan ubat di klinik kesihatan atau membeli ubat di farmasi, jika kehabisan bekalan atau tertinggal.

"Pesakit tidak sewajarnya berkongsi ubat walaupun mereka menggunakan ubat yang sama. Mereka perlu ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan sebelum diberikan ubat yang diperlukan.

"Rekod kesihatan dan preskripsi yang ada boleh membantu doktor terlibat mengetahui sejarah kesihatan pesakit. Tiada alasan untuk pesakit tidak mengambil ubat sepanjang berada di kampung," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan pesakit untuk mengamalkan cara penyimpanan ubat yang betul, iaitu dengan memastikan ubat disimpan dalam bekas tertutup dan jauh daripada cahaya dan kelembapan.

Ubat-ubatan ini, tegas Dr Sha'ari tidak boleh sama sekali disimpan di dalam tempat letak barang kereta kerana ia akan terdedah kepada suhu tinggi.

"Jika perlu membawa insulin yang belum dibuka, pastikan ia dibawa dalam bekas yang mempunyai penebat suhu dan boleh mengekalkan suhu penyimpanan iaitu dua (2) hingga lapan (8) darjah celcius.

"Pesakit dinasihatkan untuk merancang perjalanan pulang ke kampung dengan menyesuaikan bekalan dan suhu insulin sepanjang tempoh perjalanan," katanya.

Beliau berkata ubat yang dibawa perlu dikeluarkan sebaik tiba di destinasi dan disimpan di lokasi selamat, jauh daripada kanak-kanak dan ditandakan dengan nama pesakit supaya tidak tertukar dengan orang lain.

Beliau juga mengingatkan supaya pesakit untuk membawa bekalan ubat yang mencukupi semasa pulang ke kampung dan mematuhi jadual pengambilan ubat walaupun dalam kesibukan dan keseronokan berhari raya.

"Ubat-ubat boleh diambil seperti waktu sebelum berpuasa. Ubat berkaitan kencing manis juga tidak perlu lagi diubah suai dos atau dikurangkan seperti semasa sedang berpuasa. Jika ada keraguan, dinasihatkan untuk merujuk doktor," katanya.

Dr Sha'ari juga menasihatkan masyarakat untuk mengamalkan tabiat penjagaan kesihatan yang baik sepanjang Aidilfitri, seperti menyediakan air kosong secukupnya kepada tetamu dan mengasingkan gula dan susu daripada minuman panas seperti kopi dan teh.

"Tuan rumah juga boleh mengelakkan daripada menggunakan susu pekat manis. Sebaik-baiknya sediakan susu rendah lemak dan lebih baik jika mengelak daripada menghidangkan minuman berkarbonat atau kordial sebagai minuman utama," katanya.

Beliau berkata, hidangan dalam bentuk rebusan seperti mee atau bihun sup, mee rebus, soto, nasi ulam, nasi kerabu atau laksa asam adalah lebih baik bagi penjagaan kesihatan, sementara tetamu perlu 'beringat' untuk mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil.

Tetamu juga dinasihatkan untuk mengamalkan tiga prinsip bagi memastikan keselamatan makanan, iaitu lihat, hidu dan rasa sedikit terlebih dahulu sebelum mengambil hidangan.

"Jika makanan itu telah rosak, mereka sewajarnya memaklumkan kepada tuan rumah bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan. Walaupun sibuk beraya, jangan abaikan aspek kesihatan kerana ia aset utama yang perlu dijaga sepanjang masa," katanya. - BERNAMA