KOTA TINGGI, 20 JUN - Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) menawarkan pengurangan kompaun tempat letak kereta sebanyak 80 peratus berkuat kuasa dari 15 Jun hingga 15 Julai ini.

Yang Dipertua MDKT Fizwan Mohd Rashidi berkata pengurangan itu bertujuan memberi peluang kepada pemilik kenderaan menjelaskan kompaun sempena Aidilffitri ini.

Katanya, bayaran hanya boleh dibuat di kaunter MDKT sahaja dan kegagalan menjelaskan kompaun akan menyebabkan pihak MDKT mengambil tindakan mahkamah.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM300 di bawah Sub Seksyen (7) Seksyen 72 Akta Pengangkutan Jalan, Perintah Lalulintas Jalan MDKT 2014.

"Bagi orang ramai yang kehilangan penyata kompaun, mereka hanya perlu memberi nombor pendaftaran kenderaan di kaunter MDKT untuk semakan dan penyata kesalahan akan dikeluarkan. Setelah pembayaran dilakukan, resit akan dikeluarkan sebagai bukti," katanya ketika ditemui.

Sehubungan itu, pihaknya berharap agar orang ramai menggunakan peluang tersebut untuk menjelaskan kompaun tempat letak kereta masing-masing bagi mengelakkan masalah kompaun tertunggak yang akan menyebabkan pelbagai kesulitan.

Mengenai pengutipan sisa pepejal pada Aidilfitri, Fizwan berkata pihak SWM Environment Sdn Bhd telah menyediakan tambahan dua buah lori untuk kutipan sampah terutamanya pada hari raya pertama dan kedua.

Menurutnya, keutamaan perkhidmatan kutipan sampah diberikan pada kawasan-kawasan taman perumahan yang padat dengan penduduk seperti Taman Kota Jaya, Taman Sri Saujana dan Taman Daiman Jaya.

"Kami berharap orang ramai boleh membungkuskan sampah dengan sempurna dan melupuskannya di dalam tong sampah beroda (TSB) SWM.

"Bagi sampah yang boleh dikitar semula, ia perlu dibungkus dengan beg plastik ikat kemas dan letakkan di tepi TSB untuk memudahkan pekerja buat kutipan," katanya.

Selain itu, orang ramai yang mahu membuat aduan berkenaan sampah atau khidmat perbandaran MDKT boleh menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp pada talian 019-7177000 bagi tujuan tindakan segera. - BERNAMA