KUALA LUMPUR, 20 JUN - Bekas wartawan hiburan popular tanah air Bahyah Mahmood, 75, atau lebih dikenali dengan nama BAM, meninggal dunia akibat kanser hati di Institut Kanser Negara, Putrajaya, awal pagi tadi.

Menurut anak Allahyarham, Fadhila Ahmad, 47, ibunya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi di institusi rawatan sama arwah bapanya yang juga wartawan veteran Ahmad Idris meninggal dunia pada Februari tahun lepas.

"Arwah ibu saya sudah tiga bulan disahkan menghidap penyakit kanser hati dan sejak dua bulan lepas dia hilang selera makan.

"Susulan itu, arwah dimasukkan ke Institut Kanser Negara sejak seminggu lepas," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Keramat di sini Selasa.

Fadhila berkata Allahyarham merupakan seorang ibu yang penyayang, rajin bekerja dan pandai membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga walaupun sibuk dalam kerjayanya.

Fadhila, yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, berkata jenazah ibunya itu akan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas waktu Zuhur.

Allahyarham Bam mula aktif dalam bidang penulisan ketika di Singapura pada 1965 dan berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967.

Allahyarham kemudian dikenali sebagai penulis ruangan hiburan sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia pada 1980-an dan memegang jawatan terakhir di Utusan Melayu sebagai Pengarang URTV sebelum bersara pada 1996.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 1991 sehingga 1993.

Allahyarham, yang merupakan antara pengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980, meninggalkan tiga anak perempuan dan lima cucu. - BERNAMA