KENINGAU, 14 JUN - Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM66,000 untuk membiayai aktiviti jawatankuasa masjid dan surau di kawasan Parlimen Pensiangan sepanjang bulan Ramadan, kata Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Datuk Ghani Yassin.

"Kita mengagihkan peruntukan ini di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Sook dan Nabawan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Kampung Ansip, semalam.

Menurut Ghani, bagi mengaktifkan kelas-kelas bimbingan untuk saudara baharu di dua kawasan DUN itu, peruntukan sebanyak RM44,000 disediakan iaitu RM26,000 bagi kawasan Sook dan RM18,000 untuk Nabawan.

Katanya, penyaluran peruntukan berkenaan membuktikan bahawa kerajaan persekutuan benar-benar ikhlas dan prihatin terhadap setiap keperluan rakyat di kawasan luar bandar khususnya Pensiangan.

Pada majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Pensiangan itu, Ghani turut menyampaikan sumbangan bungkusan makanan dan beras kepada penduduk kurang bernasib baik, ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU) selain duit raya kepada anak-anak yatim di kampung berkenaan.

Turut disampaikan ialah bantuan wang zakat daripada Pusat Zakat Sabah kepada beberapa orang penduduk yang layak. - BERNAMA