SIK, 14 JUN - Kira-kira 200 lori akan disediakan bagi menghantar bekalan air bersih ke kawasan yang sering mengalami masalah terputus bekalan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) memandang serius masalah bekalan air dan mengambil pelbagai langkah bagi menyelesaikannya.

"Terdapat lebih 570,000 akaun pengguna dan dianggarkan 4,000 akaun betul-betul terjejas akibat terputus bekalan air, antaranya di Merbok, Baling, Pokok Sena dan Padang Terap.

"Justeru, menjelang sambutan Aidilfitri, kita akan menyediakan lebih 200 lori untuk menghantar bekalan air bersih ke kawasan terbabit," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Kedah ke Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadan di Masjid Sik Dalam, di sini, Selasa malam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Tambahnya, penghantaran bekalan air bersih menggunakan lori akan dibuat lebih kerap ke lokasi terbabit, terutamanya pada minggu kemuncak sambutan Aidilfitri.

"Kita akan turut membuka pusat aduan di lokasi berkenaan bagi memudahkan pengguna membuat aduan agar tindakan segera boleh diambil.

"Selain itu, tangki statik akan turut ditempatkan di masjid-masjid, bagi memudahkan masyarakat setempat melaksanakan ibadah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua anggota masyarakat agar berhemah dalam menggunakan air, terutamanya sepanjang musim perayaan tahun ini.

Terdahulu, Badrul Hisham menyampaikan sumbangan kepada 862 individu terdiri daripada guru Quran sukarela, bidan kampung, jurumandi jenazah dan penggali kubur, bagi meringankan perbelanjaan mereka sepanjang Ramadan dan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. - BERNAMA