BUKIT KAYU HITAM, 13 JUN - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai hampir RM500,000 selepas menahan sebuah lori kecil di sini, petang semalam.

Komandernya ASP Mohd Khairi Abdullah berkata dalam kejadian pada 2 petang itu, sepasukan anggota risik agensi itu telah menahan lori berkenaan di KM 4 Projek Lebuh Raya Utara Selatan, namun pemandunya berjaya melarikan diri.

"Pemeriksaan pada lori bernombor pendaftaran Thailand itu, pihak kami menjumpai 94 kotak yang setiapnya mengandungi 25 karton rokok.

"Terdapat dua jenis rokok berjenama Mari Gold dan Kenmore International yang dianggarkan bernilai RM450,100 termasuk cukai," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata rokok berkenaan dipercayai untuk dibawa masuk ke Singapura berdasarkan jenama tersebut tidak terdapat di pasaran tempatan.

Mohd Khairi berkata kesemua rokok dan lori berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) kerana gagal membuat akuan berkenaan barang berduti yang diimport atau dieksport.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, katanya. - BERNAMA