LAHAD DATU, 13 JUN - Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang juga suspek utama dalam cubaan membunuh seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan dekat sini, pada awal pagi Ahad lepas. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada hari sama kejadian kira-kira 5.10 petang di kebun sawit Jalan Agaseh. 

Turut dirampas daripada suspek sepucuk senjata buatan sendiri (bakakuk) dan empat peluru jenis buckshot 12 bore yang digunakan suspek untuk melepaskan tembakan kepada mangsa lelaki berusia 22 tahun. 

"Penahanan lelaki ini turut membawa kepada penahanan sembilan lelaki lain berusia antara 17 hingga 34 tahun terdiri daripada empat warga Indonesia dan lima warga tempatan bagi membantu siasatan. 

"Kejadian 3.30 pagi itu bermula apabila sekumpulan remaja di hadapan sebuah pusat hiburan didatangi sebuah kereta jenis Iswara dan suspek utama yang duduk di bahagian belakang kereta melepaskan tembakan ke arah kumpulan terbabit sehingga mengenai bahagian buku lali kiri dan kanan kaki mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. 

Menurut Ahmad, selepas tembakan dilepaskan rakan suspek utama turut keluar daripada kereta sambil memegang sebilah pedang samurai sebelum kumpulan remaja terbabit melarikan diri. 

Katanya, kejadian itu berpunca ekoran salah faham semasa menari di dalam pusat hiburan tersebut sehingga mengakibatkan pergaduhan. -- BERNAMA